Ibubapa Perlu Baca!!! Tabiat Buruk Remaja Dan Cara Mengatasi Nya!!

BERUNTUNGLAH bagi mereka yang dapat kekal di dalam pegangan beragama pada saat berada di penghujung kehidupan masing-masing.

Namun bagi mereka yang terpesong atau terseleweng daripada jalan agama, maka pada waktu tersebut mereka akan berada di dalam keadaan yang merugikan diri mereka sendiri.

Peringatan daripada Allah SWT, agar manusia tidak mati kecuali benar-benar beriman kepada-Nya, malah barangsiapa yang mencari selain daripada Islam di dalam hidupnya, dia tidak akan diterima oleh Allah.

Dalam rancangan Mauizati yang bersiaran di radio IKIMfm pada hari Khamis jam 5 petang, al-Fadhil Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menyebut bahawa apabila berhadapan dengan keremajaan, ada beberapa tabiat yang dikesan oleh para alim ulama supaya manusia memastikan keluarga mereka terselamat daripada tabiat-tabiat buruk.

Di antara tabiat buruk yang lazim berlaku di kalangan remaja ialah meninggalkan solat dan tidak menjaga aurat. Namun mereka yang diberi hidayah Allah tidak tergolong di kalangan remaja tersebut.

Saat remaja penuh dengan kegembiraan, tetapi pada ketika usia inilah mereka harus menjaga diri kerana baharu memasuki usia akil baligh. Solat merupakan asas di dalam agama dan harus diterapkan di dalam diri remaja, ia juga merupakan tiang agama.

Oleh itu sesiapa yang membiarkan dirinya tidak menunaikan solat, maka dia telah menghancurkan agama.Ramai di kalangan remaja apabila terlibat di dalam hiburan dan sesuatu yang melekakan termasuklah pekerjaan atau permainan, mereka terdorong untuk meninggalkan solat.

Adalah menjadi tanggungjawab ibu dan bapa untuk memastikan mereka menjaga solat dan berikan peringatan yang menginsafkan keluarga tentang bahaya meninggalkannya. Selain itu, pada usia remaja jugalah mereka lebih gemar membuka aurat yang seterusnya akan mengundang fitnah yang banyak.

Setiap perkara yang dilakukan tidak seharusnya mengambil ringan tentang aurat mereka kerana ia akan mendatangkan dosa yang berpanjangan dan beri penjelasan kepada anak-anak remaja tentang kesan buruk daripada perbuatan membuka aurat tersebut.

Malah ramai di kalangan umat Rasulullah dihumban ke dalam neraka berpunca daripada keingaran mereka untuk mematuhi perintah Allah untuk menjaga aurat. Sesungguhnya secara tidak langsung, dengan menjaga aurat maka maruah diri turut terpelihara dan memiliki kehidupan yang lebih mulia kerana ditinggikan darjat mereka disisi Allah SWT.

Tabiat lain yang dilakukan oleh kalangan remaja ialah mula mencuba untuk melakukan perkara mungkar dan keji iaitu merokok.

Ibu-bapa perlu memastikan anak-anak mereka tidak terjebak dengan perbuatan ini kerana ia juga merupakan asas yang akan mendorong kepada perbuatan maksiat yang lain termasuklah menghisap dadah, ganja, menghidu gam dan lain-lain.

Perbuatan merokok diharamkan oleh majlis fatwa dan para ulama sendiri, kerana ia mendatangkan mudarat yang besar dan membahayakan kesihatan kepada manusia.

Zaman remaja bukan waktunya untuk merosakkan anggota tubuh badan, tetapi sebaliknya merupakan masa membina fizikal dan tubuh badan yang sihat serta kekuatan dalaman mereka.

Malah tabiat merokok turut mendatangkan kesan yang buruk kepada kewangan kerana dibazirkan untuk membeli rokok. Rasulullah SAW berpesan kepada umatnya agar tidak membahayakan diri dan orang lain. Jangan sesekali mencampakkan diri di dalam kebinasaan kerana amalan merokok juga mengakibatkan ketagihan yang lebih buruk.

Selain itu, pada usia remajalah mereka memulakan tabiat untuk menonton dan membaca bahan-bahan lucah yang akan mendorong mereka melakukan perkara-perkara seperti onani, atau memuaskan nafsu sendiri. Bahayanya keadaan ini memberi kesan kepada tubuh badan mereka menjadi lesu, tidak mampu menguruskan diri dengan baik dan mempunyai semangat diri yang sangat lemah.

Malah ia turut mendatangkan masalah yang lebih besar seperti hubungan seks di bawah umur, pelacuran, lemah nafsu syahwat dan lain-lain masalah sosial.

Untuk mengatasi masalah ini, para ulama turut menggalakkan perkahwinan pada usia muda untuk mengekang nafsu yang tidak baik daripada menguasai diri mereka, malah ia juga dapat menjadikan mereka lebih bertanggungjawab setelah berumahtangga.

Ia juga mengelakkan mereka daripada tenggelam di dalam percintaan yang terlarang dan melekakan. Jika tidak mampu berkahwin, mereka digalakkan berpuasa sunat dan menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang menimbulkan nafsu syahwat itu sendiri.

Ini termasuklah menjaga batas pergaulan, menutup aurat dengan sempurna dan tidak terpengaruh dengan budaya luar yang menggalakkan mendedah aurat di atas tuntutan fesyen dan sebagainya.

Isilah masa lapang dengan perkara-perkara yang berfaedah seperti membaca al-quran, berada di dalam halaqah ilmu, membaca buku yang menceritakan sirah alim ulama, ramaikan sahabat-sahabat yang salih dan elakkan daripada leka dengan laman sosial dan melayari laman sesawang yang menonjolkan akhlak yang buruk.

Rasulullah SAW memberi petunjuk untuk melihat agama seseorang, iaitu dengan melihat siapakah kalangan sahabat-sahabatnya kerana mereka yang baik agamanya memilih untuk mendampingi kawan-kawan yang baik. Untuk menjadi remaja yang baik, ibu-bapa perlu memupuk mereka agar menanam perasaan takut kepada Allah SWT.

Setiap perlakuan yang dilakukan mereka akan terbukti pada Hari Akhirat kelak di hadapan Allah dan setiap anggota tubuh akan menjadi saksi kepada setiap amalan dan perkara buruk yang dilakukan ketika hidup di dunia dahulu.

Remaja juga mudah terjebak di dalam perlakuan suka mabuk dan berkhayal, malah suka melakukan zina serta liwat.  Oleh itu mereka perlu diberi didikan sewajarnya dan perhatian yang serius oleh ibu-bapa kerana ia turut memberi kesan buruk kepada masyarakat.

Tanggungjawab mendidik anak-anak tidak harus dilepaskan kepada pihak lain kerana ia mengundang bahaya apabila menularnya penyakit di kalangan remaja yang terlibat dan ia juga akan menyebabkan tersebarnya gejala yang tidak baik sehingga menyebabkan masyarakat itu sendiri dihancurkan oleh Allah sebagaimana firman-Nya di dalam surah al-Israa’, ayat ke-16:

“Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya.”

 

Sumber: islamik.info

Baca Juga:

loading...